Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

04 April 2017

Ketepikan perbezaan, wujudkan budaya Quranik - TPM | Berita Harian


Ketepikan perbezaan, wujudkan budaya Quranik - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H / 2017M di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di negara ini untuk bersatu dan mengenepikan segala perbezaan politik bagi mewujudkan budaya Quranik dalam ummah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepemimpinan ulama harus memainkan peranan, seterusnya mengajak umat Islam menjadikan budaya Quranik iaitu al-Quran serta hadis sebagai rujukan utama dalam setiap perkara.

"Apabila umat Islam dapat membentuk akal Quranik dalam ummah, ia sekali gus mewujudkan sahsiah atau keperibadian Quranik, yang akhirnya ummah Quranik diwujudkan.

"Al-Quran perlu dijadikan tapak tasawwur yang visinya jauh berpandangan ke hadapan dan akan menentukan ummah bukan untuk tiga hari atau 30 tahun tapi untuk tempoh jangka masa panjang," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, di sini malam ini.Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Seramai 107 peserta qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran Majlis tilawah dan menghafaz berlangsung selama enam hari bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara perkara yang mengancam perpaduan rakyat masa kini adalah perbezaan fahaman dalam kalangan umat Islam serta penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi maklumat ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini memberi ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan untuk menggugat kesucian agama Islam.

"Dalam Perlembagaan kita, agama Persekutuan adalah Islam. Menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan hala tuju serta meletakkan hukum agama berlandaskan al-Quran dan hadis," katanya.

http://www.bharian.com.my/node/267664?m=1


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate