Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

14 Jun 2016

Proton bakal pulih selepas berakhirnya campur tangan Mahathir - PM

14 Jun 2016 4:00 PM

PUTRAJAYA 14 Jun - Zaman keemasan Proton Holdings Bhd (Proton) dijangka pulih selepas berakhirnya campur tangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam syarikat pengeluar kereta nasional itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, terlalu banyak campur tangan politik berlaku dalam pengurusan strategi Proton termasuk yang membabitkan pekerja dan model perniagaannya ketika bekas perdana menteri itu menjadi pengerusi Proton.

"Kini, saya dengan sukacitanya ingin menyatakan bahawa terdapat perubahan besar di peringkat atasan Proton. Era campur tangan politik Tun Mahathir sudah pun berakhir.

"Kita dapat lihat akibatnya awal tahun ini. Sebuah syarikat pengeluar, yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, telah menghadapi keadaan yang amat menyulitkan," katanya pada majlis pelancaran generasi keempat Proton Perdana di sini, hari ini.

Berkuat kuasa 30 Mac lepas, Dr Mahathir berundur sebagai pengerusi Proton, jawatan yang beliau sandang sejak 2014.

Najib berkata, kerajaan sekali lagi terpaksa campur tangan untuk melindungi pekerjaan dan keluarga rakyat Malaysia yang bergantung kepada Proton, selain menjaga pendapatan dan mata pencarian rakan kongsi perniagaan syarikat itu.

"Kerajaan terpaksa campur tangan kerana kesejahteran rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada pekerja dan pembekal Malaysia. Kami akan selalu berjuang untuk memastikan tiada siapa yang tercicir," kata beliau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata, sekarang adalah masanya untuk mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku, serta melaksanakan langkah dan pembaharuan serius supaya Proton kembali berada di landasan betul untuk merealisasikan potensi sebenarnya sekali lagi.

"Saya dimaklumkan bahawa menjelang pelancarannya, sebanyak 900 unit Perdana telah ditempah - ini menunjukkan bahawa orang ramai yakin dengan model baharu ini dan berhasrat melihat Proton berjaya.

"Pengurusan baharu Proton juga memberitahu saya bahawa mereka yakin pelanggan bukan sahaja akan menyukai penampilan menawan Perdana, malah akan tertarik dengan pemanduannya.

"Saya pun tidak sabar untuk cuba memandunya sendiri!" kata Najib sambil disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Beliau seterusnya berkata: "Biarlah kereta baharu ini dan pengurusan baharu Proton dihakimi melalui merit mereka.

"Saya tahu, kita semua ingin melihat mereka berjaya meningkatkan jualan, menerajui inovasi dan memastikan syarikat ini mempunyai masa depan yang cerah dari segi produk dan kesejahteraan warganya yang begitu gigih bekerja," kata perdana menteri.-BERNAMA

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/proton-bakal-pulih-selepas-berakhirnya-campur-tangan-mahathir-pm-1.342479#sthash.GyF3NqOH.dpuf

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate