Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

09 Mac 2016

Analisa : Beza Era PM @NajibRazak vs Mahathir #UtusanMalaysia

Najib ada eranya

AHMAD FARIS  |  08 Mac 2016 6:10 PM

 

SEKITAR April 2011, Datuk Seri Najib Tun Razak mun­cul di Bario, kawasan pe­dalaman yang terletak pada ketinggian 1,100 meter dari pa­ras laut yang juga menjadi kampung halaman suku kaum Kelabit. Kunjungannya memberi kesan mendalam terhadap pen­duduknya kerana mereka ti­dak pernah menerima kunjungan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum itu.

Semasa kunjungan itu, Najib melakukan tinjauan mesra ke sebuah klinik baharu dan pusat Internet luar bandar yang menggunakan rangkaian satelit - mengimbas kembali suasana yang ditampilkan arwah bapanya, Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Selama 40 tahun genap 21 Februari lalu Najib telah melibatkan dirinya dalam politik. Ba­nyak pencapaian yang jika diteliti satu persatu, tidak kurang darjah nilainya de­ngan pencapaian era lima Perdana Menteri sebelum ini.

Antara yang sempat diingati penulis sepanjang pentadbirannya adalah kesediaannya menjejakkan kaki di tempat atau kawasan yang menyaksikan konflik dunia seperti bumi Palestin. Pada tanggal 22 Januari 2013 itu, sambil diiringi Perdana Menteri kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh, Najib turun padang mengunjungi wilayah bergolak Gaza untuk meninjau kemusnahan besar bangunan pejabat kerajaan akibat serangan rejim Zionis.

Najib juga pada 10 Mac 1995 semasa beliau Menteri Pertahanan tiba di Konjic, Bosnia untuk melawat anggota MALBATT di sana. Kesanggupan beliau mengetepikan nasihat dan arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya pemimpin dunia tidak mengunjungi Bosnia Herzegovina yang dilanda perang penghapusan etnik paling tragis dalam sejarah Eropah moden memberi sedikit kejutan kepada dunia.

Cuma, masalah yang dihadapi Najib sekarang, benarkah antaranya itu diwarisinya daripada pemimpin terdahulu. Masih ingat­kah dengan konsep Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang dilancarkan pada 1990-an untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik. Semua maklum siapa `pemain-pemain utama' yang memiliki IPP ini. Sime Darby yang adalah salah sebuah IPP. Namun begitu, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), tidak banyak perhatian yang diberikan.

Sebaliknya 'pemain-pemain' terbabit memperoleh perjanjian yang paling menarik dan berat sebelah sehinggakan seorang orang kuat yang berkait dengan penyediaan sumber itu (kini arwah) - seorang yang penuh integriti - enggan menandatangani perjanjian ini dan dikatakan meletak jawatan sebagai protes.

Hal ini menyebabkan pembangkang menyerang kerajaan dan menyifatkan ia sebagai 'perjanjian kroni' malah tindakan kerajaan menganugerahkan subsidi yang banyak kepada IPP ini dipersoalkan. Malah pada Mei 2011, salah seorang ahli parlimen pembangkang menyifatkan IPP sebagai 'kilang dadah yang besar' yang memerlukan jumlah subsidi yang sangat besar dari kerajaan, dianggarkan berjumlah RM19 bili­on setahun.

Selain itu, isu kenaikan tambang kereta api ERL dari RM35 kepada RM55 melibatkan lokasi Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang yang berkuat kuasa baru-baru ini turut diputarbelit dengan Najib yang menjadi punca kenaikan.

Padahal perjanjian itu sebenar­nya ditandatangani pada 1997 lagi ketika era Perdana Menteri waktu itu – yang kini menjadi pengkritik lantang Najib. Perjanjian ini ditandatangani pada 1997 lagi dan bukannya setahun dua ini.

Yang pasti, kalau ada perkara baharu yang diperkenalkan Najib menimbulkan perdebatan adalah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). GST bukan untuk menyusahkan rakyat dan beliau berpegang kepada prinsip "daripada rakyat kita akan kembalikan kepada rakyat". Malah, Najib turut berjanji kepada rakyat bahawa (hasil) tambahan daripada GST itu akan dipaparkan dalam bajet akan datang ke arah mana dibelanjakan duit tambahan itu.

Bayangkan jika tiada GST yang sekali gus hasil negara juga akan berkurangan sebanyak RM21 bi­lion sepanjang tahun. Malah, kerajaan terpaksa meminjam dan membuat hutang untuk membayar gaji penjawat awam jika tiada GST. Ini sekali gus hasil negara juga akan berkurangan sebanyak RM21 bilion sepanjang tahun.

Kerajaan juga terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua se­perti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan perniagaan pasti akan meningkat. Pelbagai barang dan perkhidmatan telah dikecualikan atau dikenakan GST pada kadar sifar yang keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion.

Dimaklumkan juga anggaran kutipan GST untuk tahun 2015, bermula daripada pelaksanaannya pada April 2014 berjumlah RM23.2 bilion. Sehingga Februari tahun ini, pasti mencatat peningkatan.

Benarlah bahawa setiap Perdana Menteri ada gaya tersendiri dalam eranya. Dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan tambatan ringgit kepada RM3.8 untuk satu Dolar Amerika, yang dirasa sesuai dilaksanakan pada waktu itu.

Sehingga hari ini, pakatan pembangkang begitu galak dan sebenarnya semakin agresif untuk mencetuskan pelbagai persepsi menguar-uar kononnya kelemahan pemimpin kanan UMNO dan BN termasuklah Najib.

Namun, Perdana Menteri se­ring mengingatkan anak buahnya serta kepada dirinya sendiri, betapa rakyat perlu didekati. Hal ini menjadi pemangkin beliau memperkenalkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

Banyak lagi amalan positif dipraktikkan oleh Najib sepanjang 40 tahun ini. Amalan ini termasuklah berkaitan perumahan tentera dan arus pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dicatatkan semasa era beliau Menteri Pertahanan.

Dua kali beliau dilantik menjadi Menteri Pertahanan iaitu pada 1990 hingga 1995 serta antara tahun 2000 hingga 2008. Selepas dilantik pada 2000, Najib meneruskan langkah pemerkasaan ATM dengan membeli pesawat tempur termoden iaitu Sukhoi dan kapal selam, Scorpene yang sekian lama menjadi hasrat ATM untuk memilikinya.

Dalam bidang pendidikan, semasa Menteri Pendidikan pada 1995, beliau meletakkan asas yang kukuh di dalamnya dengan membentang dan kemudiannya diluluskan Akta Pendidikan 1996. Ini sekali gus membolehkan perubahan bersepadu melibatkan semua komponen berkaitan sistem pendidikan. Dalam eranya juga, ditubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyediakan dana bagi pelajar semua kaum membiayai pengajian mereka.

Pastinya, agenda utama pembangkang adalah mencari salah dan melaungkan kesalahan itu, baik yang dilakukan oleh kerajaan atau pun GLC. Ini semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik dan menarik sokongan pengundi ke arah mereka tanpa mengambil kisah hujung pangkal sesebuah isu.

Penulis terkesan dengan luahan Tun Rahah Mohammad Noah yang meluahkan harapan buat anak sulungnya itu baru-baru ini: "Doa lah yang paling istimewa daripada seorang ibu. Alhamdulillah semuanya berlaku dengan baik (walaupun) lepas satu-satu dugaan datang (buat Najib). (Tetapi) dalam politik memanglah, (namun) dia sabar, dia tidak panik."

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/najib-ada-eranya-1.198334#sthash.aNFydBhX.dpuf

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate