KUALA LUMPUR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tatatertib terhadap Ali Tinju sekiranya terus melakukan perkara yang menjatuhkan imej persatuan itu.

Menurut Majlis Eksekutif PVATM, ini memandangkan Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom sering membuat kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman yang dilihat boleh memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini.

Tindak tanduk Ali Tinju itu juga disifatkan telah memberi imej yang tidak baik terhadap Veteran ATM secara menyeluruh selain bercanggah dengan prinsip dan amalan Veteran ATM di negara ini.

 

Mohd Ali sebelum ini pernah mencetus kontroversi melalui beberapa tindakannya termasuk insiden 'senaman punggung' di hadapan kediaman pengerusi bersama Bersih Datuk S.Ambiga dan demonstrasi jalanan sewaktu insiden Low Yatt.

Menurut PVATM, Mohd Ali pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) selama lapan tahun dan merupakan anggota persatuan itu yang berdaftar di cawangan Petaling, Selangor, namun tidak aktif.

Persatuan itu turut menegaskan Persatuan Veteran Tentera Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor (PVTM) yang ditubuhkan Mohd Ali tidak lagi wujud.

"PVTM telah dibubarkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 April 2014 kerana gagal mematuhi beberapa syarat dan peraturan yang dikenakan ke atas setiap persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

"Oleh itu kami berharap pihak media tidak lagi menyebut dan mengaitkan Ali Tinju sebagai Presiden PVTM kerana persatuan itu tidak lagi wujud," kata kenyataan itu.

PVATM merupakan persatuan terbesar veteran ATM dengan 160,000 anggota dan kini  diterajui Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia selaku presiden. – Bernama