Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 November 2015

@TianChua jangan jawab menerusi media - Ahmad @Zahid_Hamidi


Tian Chua jangan jawab menerusi media - Ahmad Zahid
23 November 2015 6:46 PM

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua supaya memberi penjelasan dan keterangan kepada polis dan mahkamah berhubung dakwaan menjadi dalang mengatur pertemuan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Tian Chua tidak perlu menafikan pembabitannya dalam pertemuan Nurul Izzah dengan anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013, melalui media.

"Saya menasihatkan beliau tidak perlu menafikan melalui media, sila jawab kepada polis apabila kenyataan diminta daripada beliau dan sila beri keterangan dan penafian di mahkamah kalau beliau tidak terlibat," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Zahid turut mempertahankan kenyataan yang dibuat tengah hari tadi dan tidak akan menarik balik kenyataan itu.

"Beliau jawablah kerana hanya beliau sahaja yang tahu penglibatan beliau dalam penganjuran majlis di Manila dan juga pertemuan YB Lembah Pantai (Nurul Izzah) di Manila atas penganjuran beliau.

"YB Tian Chua telah menafikan penglibatan beliau dalam penganjuran majlis di Manila dan mengatur pertemuan dengan Jacel. Sekali lagi saya sebutkan beliau jangan menafikan melalui media. Jawab kepada polis dan menafikan di mahkamah," katanya.

Terdahulu, pada satu majlis hari ini, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Tian Chua bertanggungjawab dalam pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel.

"Anggota Parlimen Batu Tian Chua (adalah) orang yang bertanggungjawab menjalankan tindakan cara halus untuk menghubungkan apa yang dipanggil sebagai Kesultanan Sulu yang kononnya mahu menuntut semula wilayah kesultanan itu hingga ke Sabah.

"Jadi, saya harap Tian Chua berhati-hati dalam perbuatannya. Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di sini.

Tian Chua menafikan dakwaan itu, dan menegaskan beliau dan Nurul Izzah berada di Filipina atas undangan pelbagai pihak termasuk parti politik negara itu. - BERNAMA

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/tian-chua-jangan-jawab-menerusi-media-ahmad-zahid-1.161589#sthash.uULTwyZq.dpuf

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate