Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

03 September 2015

Rencana - GHB dedah dedalu (IRC JIM IKRAM) dalam Pas - Utusan Online

GHB dedah 
dedalu 
dalam Pas

AHMAD FARIS ABDUL HALIM
03 September 2015 12:40 AM

DAP memang sudah tidak ambil peduli lagi pasal Pas.

Kebencian DAP terhadap Pas membuak buak dan seakan-akan 'dimuktamadkan' dengan para penyokong dan pengikutnya merajai perhimpunan haram Bersih 4 yang baru berlalu sehari dua ini di ibu negara.

DAP mahu tunjukkan bahawa tanpa Pas pun, mereka boleh hidup 'beraja' dalam kalangan orang Melayu Gerakan Harapan Baru (GHB), PKR dan atas pagar. Kalau tidak, masakan pula pemimpin lama DAP, Lim Kit Siang sanggup terbang ke Mesir dan Jordan sebelum ini untuk bertemu dan berbincang dengan pemimpin Islam dan pelajar Malaysia di kedua-dua negara Asia Barat itu?

Terbaru, Kit Sang dikatakan merancang mengadakan satu lagi rombongan ke negara Islam bagi mengkaji sistem politik dan pelaksanaan syariah khasnya hudud selepas berpisah dengan Pas yang disebabkan isu tersebut. Kali ini mereka dilaporkan akan melawat Tunisia dan berbincang dengan pemimpin parti Islam AnNahdah, yang turut berada dalam kerajaan negara utara Afrika itu.

Gelojoh benar DAP memperlekehkan Pas terutama terhadap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam blog, portal dan apa sahaja laman sosial. Apakah agenda tersembunyi DAP ke Asia Barat untuk berjumpa dengan parti Islam Tunisia itu?
Adakah ini strategi peperangan Sun Tzu yang menawarkan formula penentangan terhadap musuh dengan cara berbaik-baik dengan musuh, kemudian menghancurkannya pula? Dalam taktik Sun Tzu, musuh perlu dilemahkan melalui gerakan risikan. Daripadanya kemudian diwujudkan tohmahan, propaganda, subversif serta ketidakstabilan.

Kenapa DAP sendiri yang perlu berjumpa dengan parti-parti Islam di luar sana? Adakah itu bermakna parti itu telah hilang kepercayaan terhadap GHB khususnya Mohamad Sabu atau Mat Sabu?

Dikatakan pemimpin DAP mengandaikan beratus ribu ahli Pas akan mengisytiharkan keluar dari parti itu untuk mengikut Mat Sabu. Tetapi DAP 'ditempelak' balik kerana yang ada sekarang ini pun, tidak sampai satu peratus ahli Pas yang sertai GHB. Kalau 35,000 ahli baharu GHB yang disasarkannya nanti - yang kini bergerak atas platform Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) yang diketuai Mat Sabu selaku pengerusinya - ia tidak sebanyak mana berbanding hampir sejuta ahli Pas. Itu pun rakyat maklum mereka ialah kumpulan yang memasuki Pas selepas tahun 1998 - iaitu apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan UMNO.

Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Morib, Hasnul Baharuddin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof dan bekas Ahli Parlimen Pas Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad yang rata-ratanya suatu ketika dulu ahli IRC (Islamic Representative Council).

Kalau IRC itu, IRC jugalah. Ada kalangan IRC yang radikal dan lebih agresif telah memperkenalkan Parti Negara Islam seperti Khalid Samad, tetapi tidak mendapat sambutan. Apabila tidak mendapat sambutan, mereka menggabungkan diri dalam Pas.

Antara pemimpin lain di peringkat junior ialah Dr. Mujahid (kini Naib Pengerusi Parti Pekerja Malaysia yang menggerakkan GHB), individu yang telah melalui perkaderan jalur ini. Modus operandi ini jelas disebut secara bertulis selepas IRC gagal menguasai sebuah pertubuhan Islam daripada dalam.

Mereka telah mula mengambil langkah melemahkannya dengan menarik keluar seramai mungkin ahli pertubuhan Islam itu. Pergolakan berebut jawatan Menteri Besar Selangor tahun lalu telah menampakkan 'warna sebenar' mereka yang dulunya menyertai Pas. Sebahagian ahli Pas telah meraguinya dari dulu dan kini tembelang sudah pecah.

Asalnya IRC, kemudian bertukar menjadi JIM (Jemaah Islah Malaysia), sebelum dijelmakan sebagai Ikram. Mereka mencatur orang mereka untuk merancang menguasai parti tersebut. Mereka (IRC, JIM dan Ikram) ini difahamkan ada plan B.
JIM seketika dulu sebuah NGO berdaftar di Malaysia. Dalam kalangan orang Pas dan pemimpin kanan parti itu, penganjur dan pesertanya sudah terbiasa mendengar dari mulut bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Allahyarham Harun Taib: "Abu Urwah ini masuk Pas tapi ana tidak percaya kesetiaannya kepada Pas. Ya! Sekarang terbukti. Terang-terang Saari 'jolok' Pas dan presidennya."
Melompat kedua-duanya (Saari dan Hasnul) memberi sokongan kepada Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sedangkan pendirian pucuk pimpinan Pas adalah menyokong mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Begitulah IRC, sejak dulu menjadi dedalu kepada Pas.
Dengan GHB muncul secara rasmi menggunakan platform Parti Pekerja, nampaknya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang sebelum ini beria-ria 'menembak' Abdul Hadi dan ulama Pas dari awal, tiba-tiba dilupakan. Ke mana menghilangnya Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi? Habis manis, sepah dibuang. Demikianlah nasib Pasma walaupun lebih awal 'menyerlahkan taringnya' membantai Pas sebelum GHB.

Phahrolrazi terlepas kapal. Dia kini bolehlah fikir sendiri dan lihat gaya permainan JIM dan GHB ini. Orang Pas sejati hanya dijadikan alat untuk mencapai cita-cita Anwar dan Kit Siang.

GHB dipercayai tidak akan ke mana kerana yang menggerakkan jentera pilihan raya pembangkang selama ini sejak 2008 lagi adalah Pas. Pas yang memenangkan pakatan pembangkang di Terengganu, Perlis, Perak, Johor, Melaka dan Selangor. Kalau setakat bantuan PKR dan DAP, jentera pembangkang tidak ke mana.
Parti Pekerja atau GHB tentu sekali akan 'dipergunakan' lagi untuk membantu DAP dan PKR dalam dua tahun setengah lagi.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

- See more at: http://m.utusan.com.my/rencana/ghb-dedah-8232-dedalu-8232-dalam-pas-1.131124#sthash.Geq3krDW.dpuf

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate