Benar, kalau mahu dirujuk universiti tersohor di dunia, yang banyaknya terletak di barat, persatuan pelajar mereka bebas menjemput siapa sahaja yang mereka mahu. Cambridge Union Society contohnya, ada menjemput Russell Brand, seorang ahli komedi yang kini giat berkempen menentang status-quo di tanah Inggeris. Persatuan Cambridge itu juga menjemput dua tokoh kontroversi Pussy Riot, Tolokonnikova dan Alekhina, untuk berucap di Cambridge.

Sebelum melatah mahu gunakan contoh dari sana, perlu diingat mereka bukan berlegar dalam ruang lingkup politik sahaja. Ada juga ahli seni, ahli sukan, dan banyak lagi tokoh daripada pelbagai bidang dijemput. 


Malang sekali di tanah air kita ini, bila disebut sahaja gerakan pelajar, pasti yang dikejar ialah hal politik sedangkan seorang pelajar secara takrifnya ialah seorang penuntut ilmu. Inilah yang disebut sebagai pelajar di IPTA Malaysia, bangsa Melayu terutamanya terlampau sibuk berpolitik sampai langsung tidak menumpukan tujuan asal mereka datang ke universiti iaitu menimba ilmu.

Bercakap pasal Cambridge, tahukah kalian bahawa satu majlis yang menjemput Nigel Farage, seorang pemimpin parti politik yang kontroversi di tanah Inggeris, terpaksa dibatalkan di Universiti Cambridge baru-baru ini kerana menerima banyak tentangan dan protes daripada banyak pihak? Berbalik kepada Universiti Malaya, kalau ramai pelajar universiti itu sendiri yang tidak bersetuju Anwar Ibrahim dijemput, kenapa PMUM, yang sepatutnya mewakili semua pelajar UM, tidak mengambil kira pandangan yang tidak bersetuju ini? Jelas sekali ada agenda peribadi yang mahu dibawa oleh segelintir pemimpin PMUM.


Dakwaan bahawa pelajar menjadi kuda tunggangan parti pembangkang bukanlah satu dakwaan yang tidak berasas. Lihat sahaja satu program yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan bertajuk 'Universiti atau Penjara? Diskusi Kebebasan Mahasiswa'. Persoalannya, kenapa AMK pula yang sibuk mahu anjurkan majlis seperti ini? Kenapa bukan PMUM sendiri yang buat? Ini ialah hipokrasi pada tahap yang menjengkelkan. Mereka sibuk menjaja sana-sini kononnya parti pemerintah campur tangan dalam pentadbiran universiti. Bukankah tindakan AMK ini secara tidak langsung cuba campur tangan perjalanan pentadbiran universiti?


Lihatlah bagaimana Universiti Al-Azhar, Mesir tidak lagi segah dulu. Disebabkan campur tangan politik dengan pelajarnya bergelumang politik, silibusnya menjadi cacamarba. Bukan sahaja politik menggila, bahkan fahaman militan mengganggu-gugat segenap aspek pembelajarannya.

Membaca laporan akhbar provokasi yang dicetuskan sebilangan perwakilan Persatuan Mahasiswa UM baru-baru ini sehingga akhirnya membawa masuk seorang ketua pembangkang ke dalam kampus itu, penulis percaya para pelajar terbabit telah diperalatkan. Mereka tidak mewakili majoriti pelajar UM yang masih cintakan dunia akademik dan mahu mencapai kecemerlangan karier selepas keluar nanti.

Kalau diperhatikan pun, hanya ada segelintir sahaja pelajar bukan Melayu yang menyertai demonstrasi anjuran PMUM itu yang diketuai seorang budak hingusan dari Permatang Pauh.

Sebab apa? Hal ini adalah disebabkan pelajar Cina dan India di kampus institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara percaya demonstrasi hanya melahirkan pelajar kelas tiga dan lembik untuk bersaing di dunia luar.


Cukup sahaja kalau kita perhati spektrum politik tanah air. Hanya mereka yang berbangsa Melayu menjadi kepala demonstrasi di jalanan. Pas yang dikatakan menguasai kampus sekadar dijadikan kuda tunggangan oleh sekutunya dalam setiap demonstrasi yang berlaku di Perak, Selangor serta anjuran Bersih tempoh hari. Di mana kelibat 'ke depan' Tony Pua, Anthony Loke, Lim Kit Siang dan Ambiga?

Rekod pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi bukti dan faktanya. Dari 2003 hingga 30 September 2012, disebabkan meraih keputusan cemerlang, seramai 9,598 pelajar Cina atau 72.8 peratus mendapat pengecualian bayaran balik PTPTN sebanyak RM297 juta. Pelajar Melayu pula hanya meliputi 2,929 orang atau 20 peratus dengan pengecualian bayaran balik RM58 juta.

Ketika IPTA termasuk UM sendiri menjadi laluan utama atau platform terbaik untuk pelajar Melayu bergelar mahasiswa dan graduan ekoran kos tinggi di IPT swasta (IPTS) - yang peliknya sebahagian pelajar juga bertindak seperti 'kacang lupakan kulit'. Atau menjadi 'gunting dalam lipatan' yang mahu mempengaruhi rakan-rakan mereka, yang juga seagama dan sekampung menyertai falsafah sempit darah muda mereka.


Wahai pelajar Melayu di IPTA sedarlah diri anda. Hargailah kemasukan anda ke IPTA. Sebenarnya ketika ini lebih ramai pelajar menyertai IPTS berbanding IPTA. Kebanyakan IPTS dibina dan ditaja oleh syarikat dan individu Cina yang kaya. Pada 1996, terdapat 354 IPT swasta di negara ini. Ia meningkat kepada 525 buah pada 2007. Majoriti pelajar ke IPTS ialah mereka yang berkemampuan dan tinggal di bandar.

Kebanyakan IPTS pula merangkumi sehingga 95 peratus pelajar Cina dan India. Ia empat kali ganda lebih tinggi berbanding Melayu.


Kajian Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia menunjukkan 120,000 calon Melayu yang layak atau 65 peratus gagal permohonan mereka ke IPTA. Penggantian sistem kuota dengan meritokrasi sejak 2003 juga menjejaskan peluang dan kedudukan pelajar Melayu. Tahun 2003 menyaksikan peningkatan pengambilan pelajar Cina ke universiti sebanyak 27 peratus dan pertambahan Melayu cuma tiga peratus. Pada 2004, kemasukan pelajar India ke universiti naik 46 peratus dan pelajar Cina 36 peratus berbanding Melayu cuma 10 peratus.

Antara 2002 dan 2010, kemasukan pelajar bukan Melayu ke universiti meningkat 61 peratus dan Melayu hanya 27 peratus. Pelaksanaan sistem meritokrasi lebih banyak memberi manfaat kepada pelajar bukan Melayu yang tahu kelebihan ini mesti direbut.


Justeru, perwakilan PMUM dan sekelumit penyokong pelajar Melayunya tempoh hari jangan hanya cakap berdegar-degar, tetapi kelulusan setakat kelas tiga sahaja. Jangan terkinja-kinja mahu mencontohi sesetengah pemimpin kanan parti tertentu yang belajar setakat habis tingkatan 3 (SRP). Mereka ini sekadar boleh membaca teks soalan di Parlimen, nak tunjuk pandai tetapi apabila 'twist' sedikit, menjadi burung kakak tua pula. Ilmu bukan boleh 'diskripkan' atau diperoleh dalam semalam sahaja, tetapi perlu digilap.


Ahli politik pembangkang mesti rasional. Jangan ganggu pelajar di IPTA. Biarkan sahaja persatuan-persatuan di kampus mencorakkan pemikiran pelajar mengikut acuan universiti. Biarkan tenaga pengajar sendiri membangunkan daya kepimpinan pelajar mereka.

Prestasi pelajar Melayu pembangkang di IPTA hambar disebabkan mereka gagal mempengaruhi rakan-rakan sebaya Melayu, Cina dan India menyertai demonstrasi jalanan. Bahkan, gagal pula dalam pelajaran.


Universiti seharusnya tempat idea dan pemikiran dibincang, dihentam kiri kanan dan seterusnya bercambah. Namun demikian, andai ada pelajar yang mahu membawa masuk perangai tidak beradab penyokong parti pembangkang ke dalam kampus yang mulia ini, pihak universiti berhak bertindak dalam bidang kuasa yang ada pada mereka untuk menghentikan perkara ini.

Pemimpin parti politik terlibat janganlah lagi bersifat 'baling batu sembunyi tangan'.


DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.