Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

13 Oktober 2014

PKR tidak puas hati Pas gantung keahlian Saari, Hasnul



SHAH ALAM 12 Okt. - Keputusan Pas Pusat menggantung keahlian selama setahun terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di negeri ini mengundang rasa tidak puas hati rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rasa tidak puas hati itu dinyatakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Fadzil yang menyifatkan keputusan Pas Pusat terhadap ADUN Hulu Klang, Saari Sungip dan ADUN Morib, Hasnul Baharudin itu tidak sepatutnya dibuat kerana tindakan mereka menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar sebelum ini merupakan satu tindakan demokratik.

"Walaupun tindakan disiplin yang dikenakan Pas terhadap kedua-dua ADUN (Saari dan Hasnul) tersebut adalah hak di bawah Perlembagaan parti itu, namun umum perlu ingat dan sedar bahawa tindakan kedua-dua ADUN tersebut untuk menyatakan sokongan terhadap Datin Seri Dr. Wan Azizah adalah langkah demokratik.

"Sokongan mereka itu merupakan satu usaha merungkai masalah krisis Menteri Besar mengikut amalan dan kebiasaan yang berlandaskan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp di sini hari ini.

Fahmi turut memberikan sokongan serta mempertahankan Saari dan Hasnul dengan menganggap tindakan mereka sebelum ini sebagai berani bagi mengukuhkan ukhuwah (persahabatan) dalam kalangan parti dalam pakatan pembangkang selain mengangkat kerjasama Pas, PKR dan DAP menerusi tahaluf siyasi.

Pas Pusat memutuskan menggantung keahlian Saari dan Hasnul selama setahun daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta kerana menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor, Ogos lalu.

Selain digantung keahlian, kedua-dua ADUN itu turut dilarang daripada terlibat dalam sebarang aktiviti Pas.

Sebelum ini, Saari dan Hasnul dikecam oleh partinya sendiri kerana tindakan mereka menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor kerana dilihat bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Besar Selangor tidak boleh digugurkan daripada jawatannya selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran amanah.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-60 pada 20 September lalu turut mengecam tindakan dua ADUN berkenaan selain menggelarkan mereka sebagai 'broker' dan 'barua'.

Bagaimanapun, kemelut jawatan Menteri Besar Selangor akhirnya menyaksikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilantik menduduki jawatan itu sekali gus mengenepikan Wan Azizah.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20141013/po_02/PKR-tidak-puas-hati-Pas-gantung-keahlian-Saari-Hasnul#ixzz3FzB8scoq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate