Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

14 Oktober 2014

Jawapan Menteri @Zahid_Hamidi Isu #Judi Di #Parlimen




Jawapan Isu Judi Di Parlimen 8 Oktober 2014



DEWAN RAKYAT
PARLIMEN KETIGA BELAS
PENGGAL KEDUA
MESYUARAT KETIGA
Rabu, 8 Oktober 2014

1. Datuk Johari bin Abdul Ghani [Titiwangsa] minta Menteri Dalam Negerimenyatakan sejauh manakah keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap aktiviti siber kafe/judi internet memandangkan masih banyak aktiviti perjudian ini yang masih beroperasi dan kembali beroperasi walaupun setelah tindakan penguatkuasaan dijalankan.
Menteri Dalam Negeri [Dato’
Seri Dr.    Ahmad Zahid bin Hamidi]:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, soalan ini adalah mengenai masalah perjudian. Perjudian adalah masalah kita bersama, masalah kerajaan, masalah rakyat, masalah penyokong kerajaan, masalah rakan-rakan pembangkang. KDN, Kementerian Dalam Negeri, khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat peka dan sensitif kepada isu-isu berkaitan perjudian terutama yang melibatkan penggunaan internet di seluruh negara.
KDN sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani masalah ini. Beberapa langkah telah diambil oleh PDRM bukan sahaja untuk mengesan serta membanteras kegiatan yang dijalankan oleh orangorang perseorangan malah juga sindiket yang boleh menjejaskan imej negara dan merosakkan akhlak sahsiah dan permasalahan keluarga.
Berdasarkan statistik daripada operasi yang dilaksanakan untuk tempoh dua tahun iaitu 2013 dan 2014 yang berakhir pada bulan Ogos yang lalu, PDRM telah berjaya merampas sejumlah 197,477 unit komputer yang dianggarkan berjumlah RM197.477 juta berdasarkan kepada anggaran RM1,000 bagi setiap komputer yang dirampas. Di samping itu dalam tempoh yang sama, seramai 2,500 orang telah didakwa di bawah seksyen 4B, Akta Rumah Judi Terbuka dan1,753 telah didakwa di bawah ‘seksyen 6(2)’, Enakmen Hiburan.
Bagi menentukan aktiviti perjudian dapat ditangani dengan lebih berkesan dan terancang, KDN telah mengambil pendekatan dan langkah-langkah seperti berikut:
(i) memperhebatkan tindakan yang tegas bagi pembanterasan kegiatan mesin perjudian berkomputer melalui operasi yang dipanggil sebagai Ops Dadu Khas dengan tumpuan dan skala yang lebih besar di seluruh negara;
(ii) KDN dalam perancangan untuk menubuhkan pasukan khas di peringkat Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman dengan tujuan untuk membasmi masalah perjudian secara lebih berkesan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah meluluskan penambahan kekuatan seramai 200 pegawai dan anggota yang khusus bagi melakukan serbuan dan pemeriksaan pusat-pusat yang menganjurkan perjudian di seluruh negara terus dari Bukit Aman ke kawasan sasaran. Pasukan khas yang dikenali sebagai Skuad Taktikal Khas III iaitu perjudian, maksiat dan kongsi gelap dijangka akan mula beroperasi pada Disember ini;
(iii) KDN telah menyediakan satu nota maklumat dalam Mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri tentang keperluan tindakan bersepadu antara pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) yang di bawah kerajaan negeri dengan pihak PDRM untuk mengekang kegiatan perjudian memandangkan pihak PBT mempunyai budi bicara bagi meluluskan dan membatalkan premis lesen untuk perniagaan cyber cafe di kawasan pentadbiran PBT berkenaan;
(iv) Kerjasama dengan pihak TNB atau Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa air akan terus dipertingkatkan untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air terhadap premis yang degil dan masih mengulangi kesalahan yang sama;
(v) KDN sedang mengkaji tindakan alternatif di bawah Undang-undang Pencegahan Jenayah atau POCA jika tiada keterangan yang kukuh untuk dituduh di mahkamah terhadap individu atau sindiket yang menganjurkan perjudian berkenaan.
Usaha dan tindakan yang diambil oleh PDRM melalui Ops Dadu Khas yang saya sebutkan tadi yang dilakukan secara agresif dan berterusan, insya-Allah akan dapat mengekang gejala yang negatif ini daripada terus berlaku. Namun demikian, usaha ini tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penglibatan orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis di samping menghindari aktiviti yang tidak sihat ini kerana aktiviti perjudian akan terus wujud jika ada permintaan daripada penjudi-penjudi.
Datuk Johari bin Abdul Ghani [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri kerana telah memberi jawapan yang komprehensif terhadap 5 point yang telah dibangkitkan tadi. Cuma Yang Berhormat Menteri, saya agak terpanggil untuk berkongsi dengan Yang Berhormat Menteri bahawa selain daripada tindakan yang diambil ini kita lihat bahawa hari ini premis-premis judi ini masih menjalankan operasi macam biasa.
■1010
Saya takut kalau tauke-tauke ataupun operator-operator premis judi ini kalau dia tidak lagi menghormati tindakan diambil oleh polis selepas ambil tindakan dan buka balik semula saya takut bahawa negara kita ini akan menjadi seperti Colombia, Mexico yang mana orang cuma takut kepada mafia, gengster tetapi dengan polis dia tidak takut.
Jadi saya cuba ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri, apa pandangan Yang Berhormat Menteri bahawa kalau kita lihat dalam kita membasmi dadah kita mempunyai langkah-langkah pencegahan. Jadi dalam soal ini boleh tidak kementerian memikirkan langkah-langkah pencegahan iaitu yang pertama kalau kita boleh menggunakan tangkapan tanpa bicara kepada suspek tauke-tauke judi ini simpan 60 hari.
Kita tengok apa jadi dia punya operasi. Satu.
Nombor dua, mana-mana pekerja yang kita tangkap dalam premis judi ini kebanyakan daripada mereka ini ialah pendatang asing. Kita tangkap terus simpan 60 hari dan hantar balik. Saya hendak tengok berapa orang berani bekerja dalam itu. Nombor tiga, saya juga kalau boleh kementerian memikirkan satu undang-undang langkah pencegahan ini iaitu kita mengeluarkan satu undang-undang untuk merampas premis-premis yang disewakan kepada operator judi ini menjadi hak kerajaan. Kita rampas premis ini. [Tepuk] Kita rampas premis ini dan kalau dia mengatakan dia tidak tahu bahawa premis ini diguna sebagai tempat judi suruh dia jawab di mahkamah. Kita rampas propertyini.
Kemudian saya juga hendak kalau boleh kementerian meletakkan KPI kepada OCPD. OCPD-OCPD daerah ini kena bertanggungjawab dalam kawasan mereka. Kalau mereka tidak tahu bahawa ada premis-premis judi dalam kawasan ini bermakna ini something wrong kepada OCPD. Saya hendak ambil contoh Yang Berhormat Menteri di kawasan saya kita bekerja dengan OCPD dan akhirnya kita dapat selesaikan dalam kawasan kita.
Akan tetapi dalam kawasan-kawasan lain benda ini masih berleluasa. Jadi saya minta pandangan daripada Yang Berhormat Menteri bahawa boleh tidak cadangancadangan yang saya bangkitkan tadi ini supaya dapat kita buat sebagai langkah-langkah pencegahan kepada premis ini kerana saya fikir 200 special task force ini untuk jaga satu country saya rasa agak impossible untuk kita mengatasinya. Sekian.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, mukadimah tadi saya menyebutkan bahawa masalah perjudian ini ialah masalah kita bersama. Masalah di sini dan masalah di sana, masalah di luar dan masalah kita di dalam.
Saya ingin menyebutkan bahawa Yang Berhormat Titiwangsa sendiri sebenarnya telah turun ke bawah bersama-sama dengan OCPD. Turun ke bawah ke rumah-rumah perjudian untuk melakukan pencegahan dan pembanterasan. Inilah contoh yang terbaik yang saya sendiri dapat tahu. [Tepuk] Saya yakin yang di sana juga termasuk kawankawan kita bersama-sama dengan saya, bersama-sama dengan polis untuk melakukan pembanterasan.
Saya ingin menjawab beberapa persoalan Tuan Yang di-Pertua yang ditimbulkan tadi iaitu tentang tempat-tempat judi dan tauke-tauke judi ini tidak takut kepada polis. Ini satu kelumrahan kerana kita dapati bahawa judi-judi berinternet ini mempunyai server di luar negara. Tanpa kerjasama daripada TNB, tanpa kerjasama daripada pihak berkuasa air, tanpa kerjasama daripada pihak PBT mustahil perkara ini dapat dilakukan. TNB dari segi pemotongan bekalan elektrik, pihak berkuasa air dari segi pemotongan bekalan air, PBT dari segi pengeluaran lesen PHK (pusat hiburan keluarga) termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh bukan yang sebelah sini (pihak kerajaan) peka mengeluarkan lesen-lesen pusat hiburan keluarga ini.
Saya harap kita sama-sama jangan keluarkan langsung lesen PHK ini dan yang terakhir ialah kerjasama harus diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana apabila mesin judi dirampas, komputer dirampas tetapi talian tidak dipotong. Ini adalah kuasa pihak SKMM. Kita harus memberikan kepercayaan kepada SKMM untuk memotong talian itu di mana servernya datang dari luar negara.
Saya juga melihat bahawa langkah-langkah pencegahan termasuk tangkapan tanpa bicara insya-Allah kita akan lakukan termasuk menggunakan POCA.[Tepuk] Nanti pihak sana pula kata kenapa ditangkap tanpa bicara. Soalnya tidak ada bukti yang boleh membawa mereka ke mahkamah. Sebab itu kita mahu menangkap mereka mengikut POCA. Bukan kita mahu menyalahkan undang-undang. Begitu juga undang-undang untuk merampas premis-premis perjudian.
Di persidangan Dewan yang mulia ini pada tahun lepas saya telah mengemukakan sepuluh undang-undang selari untuk diluluskan oleh Dewan ini termasuk merampas premispremis judi itu sama ada dipunyai oleh tuan punya itu atau disewa harus dirampas tetapi malangnya kita telah mengambil keputusan untuk melewatkan pembentangan itu. Saya harap Dewan ini bersetuju dengan saya pada kali ini kita buat perkara ini. [Tepuk]
Ini bukan retorik. Ini sesuatu yang telah saya kemukakan dan kita tahu bahawa KPI untuk OCPD. Insya-Allah cadangan Yang Berhormat Titiwangsa ini saya akan beritahu kepada Ketua Polis Negara jadikan sebagai KPI untuk seluruh Ketua Polis Daerah seluruh negara.
Di samping itu saya juga ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, bahawa beberapa undang-undang harus dibawa ke Dewan ini termasuk sokongan daripada Ketua Pembangkang yang baru masuk yang tidak mendengar hujah saya iaitu tiga undang-undang yang harus kita bawa ke Dewan ini iaitu Akta Rumah Judi Terbuka yang telah dibuat pada tahun 1953. Satu umur dengan Ahli Parlimen Pokok Sena atau dia lebih muda sedikit, mungkin. Undang-undang itu dibuat sesuai dengan waktu ketika itu. Tidak sesuai dalam waktu ini kerana dahulu tidak ada internet sekarang ada internet termasuk internet yang memburukkan pelbagai orang.
Yang kedua Akta Loteri 1952 harus dipinda dan harus diperbaharui dan yang ketiga ialah Akta Pertaruhan Pool yang telah dibuat pada 1967. Ini adalah merupakan undangundang yang harus dipinda yang dipanggil draconian, undang-undang lapuk. Ini harus dibawa ke Dewan ini untuk kita pinda dan kita harap perkara-perkara yang sebegini menjadi keutamaan kepada kita semua. Sekali lagi saya sebutkan bahawa masalah perjudian ini bukan masalah polis sahaja, bukan masalah KDN sahaja tapi masalah kita bersama di sana dan juga di sini.
Tuan Loke Siew Fook [Seremban]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, penguatkuasaan terhadap masalah perjudian siber ini memang tidak berkesan oleh PDRM seperti yang dikatakan berkali-kali oleh Yang Berhormat Titiwangsa dan juga rakan-rakan di sebelah sini kerana seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri masalah ini server itu berada di luar negara. PDRM pergi menyita komputer itu, beribu-ribu komputer disita pun tidak guna kerana server itu tetap berada di luar negara dan TNB pergi potong elektrik pun tidak guna sebab dia potong elektrik tempat lain boleh teruskan.
Baru-baru ini di Parlimen Singapura telah meluluskan satu undang-undang baruRemote Gambling Bill yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyekat manamana laman web perjudian ini daripada diakses di Singapura dan juga memberikan kuasa kepada Kerajaan Singapura untuk menyekat transaksi wang melalui bank kepada institusiinstitusi ataupun syarikat-syarikat yang terlibat dalam perjudian ini.
Persoalan saya ialah seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi beberapa undang-undang perlu dipinda tetapi saya nampak ataupun saya lihat bahawa beberapa undang-undang itu tidak relevan kepada perjudian siber dan adakah kerajaan mengambil satu pendirian supaya membawa ataupun menggubal satu undang-undang baru seperti yang digubal oleh Kerajaan Singapura untuk menyekat perjudian siber ini. Ini yang pertama.
Yang keduanya saya juga bersetuju dengan Yang Berhormat Titiwangsa. Kalau sesuatu daerah itu masalah perjudian siber itu tidak diselesaikan, apakah ini ada masalah dengan OCPD? Ini kerana saya yakin OCPD-OCPD ini tahu di mana kedai-kedai pusat judi siber ini.
■1020
Ada banyak tempat, ratusan pusat judi siber tetapi macam polis tidak ada kuasa untuk menyekat masalah ini. Jadi saya menyarankan kepada Menteri Dalam Negeri, kalau ada sesuatu daerah itu ada maklumat bahawa ada beratus pusat judi siber ini dan OCPD tidak dapat menyelesaikan masalah itu, maka OCPD itu tentunya ada masalah dan perlu ditukar serta-merta. Terima kasih. [Tepuk]
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Semangat ini bukan semangat Yang Berhormat Seremban sahaja, masalah semangat di sini lebih kuat lagi daripada Yang Berhormat Seremban sebenarnya.
Saya ingin sebutkan bahawa 53 website telah dikenal pasti dan telah diambil tindakan dengan kerjasama SKMM. Telah dibuat dan ada permasalahan dari segi perundangan. Perundangan-perundangan tadi memang disebutkan tadi termasuklah meminda undang-undang yang sedia ada termasuk undang-undang yang saya sebutkan tadi, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang telah tidak relevan lagi dengan waktu ini. Oleh sebab itu, saya fikir saya mohon kepada Ahli-ahli Dewan ini supaya bersama-sama dengan saya dan KDN untuk meminda undang-undang ini. Atau jika tidak sesuai, undang-undang baru perlu dikemukakan supaya perjudian ini dapat dibanteras oleh kita semua. [Tepuk]
Masalah OCPD. Saya fikir bukan sahaja cadangan dari Yang Berhormat Seremban tetapi Yang Berhormat Titiwangsa telah mencadangkan KPI. Saya fikir apa yang patut kita buat sekarang ini – termasuklah ada di kalangan tauke-tauke judi yang menggunakan kaedah remote control. Apabila OCPD datang, dia tutup semua maklumat di dalam mesin judi itu dan blackout. Begitu juga apabila elektrik dipotong, tidak ada undang-undang yang ada yang bahawa mereka boleh ambil elektrik dari premis sebelah untuk sambung atau daripada perbekalan air di sebelah, sambung, tidak ada. Jadi kita semua harus bertanggungjawab dalam perkara itu untuk meminda undang-undang yang berkenaan. Maka saya mohonlah kepada Menteri Besar Selangor yang baru yang tidak ada supaya PHK ini atau pusat hiburan keluarga yang lesennya dikeluarkan oleh Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dihapuskan, dibatalkan. Inilah puncanya. Ini kerana ketika mesin judi itu dioperasikan, hadiah-hadiah dalam bentuk dengan izin, in-kind,ditukarkan dengan wang. Jadi seolah-olah seperti pusat hiburan keluarga, seolah-olah begitu tetapi sebenarnya itu adalah pusat perjudian. Ini tanggungjawab kerajaan negeri. Saya minta kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh rakan-rakan di sana dan kita semua harus membatalkan semua PHK… [Disampuk] Termasuklah wilayah. Saya kata semua. Kita bertanggungjawab semua. Kalau Padang Terap atau Pokok Sena ada…[Disampuk] Ya, Padang Terap ertinya belah sinilah atau Pokok Sena yang dia angkat kelapa di airport, harus mengambil tindakan yang sama.
Saya ingin ulangi lagi sekali bahawa masalah perjudian adalah masalah kita bersama. Mari kita bersama-sama membanteras perjudian ini. Terima kasih.

sumber : Blog Zahid Hamidi.com

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate