KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Monorel RapidKL akan diberhentikan sementara pada 12 dan 13 April ini untuk kerja-kerja menaik taraf sistem semboyannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd., Khairani Mohamed berkata kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 12 April hingga 4 pagi, 14 April.

Perkhidmatan monorel RapidKL dijangka pulih seperti biasa pada pukul 6 pagi, 14 April, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata penutupan selama 52 jam itu adalah perlu bagi membolehkan ujian tanpa gangguan untuk sistem semboyan baharu itu. 

Katanya sistem semboyan yang ada sekarang digunakan sejak perkhidmatan monorel mula beroperasi pada 2003.

Berikutan penutupan itu, perkhidmatan bas pengantara khas akan disediakan berhampiran dengan semua stesen monorel untuk memudahkan pengguna pergi ke destinasi yang terletak di sepanjang laluan perkhidmatan itu.

Tambang sebanyak RM1 dikenakan bagi penumpang untuk setiap perjalanan.    

Pengguna boleh mendapatkan butiran terkini di laman web rasmi RapidKL di www.mtrapid.com.my atau di laman facebook RapidKL agtau melalui twitter RapidKL di @MyRapidKL. - Bernama