Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Disember 2012

BERNAMA - Kerajaan Iktiraf Sumbangan Penjawat Awam - @MuhyiddinYassin @AliHamsa55

Kerajaan Iktiraf Sumbangan Penjawat Awam, Kata Muhyiddin

PUTRAJAYA, 28 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai sumbangan penjawat awam yang telah banyak membantu negara mengecapi pelbagai kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pencapaian Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk menduduki tangga ke-10 dalam senarai 'The 2011 Foreign Direct Investment Confident Index List' selain menjadi negara yang ke-12 paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan baru-baru ini membuktikan ia adalah sumbangan penjawat awam.

Pencapaian Malaysia hari ini adalah hasil daripada pencapaian yang dicipta penjawat awam, katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat.

"Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan penjawat awam dan tidak seperti pembangkang yang memperkecilkan sumbangan kumpulan itu dalam pembangunan negara...mereka (pembangkang) tidak mahu mengiktiraf pencapaian itu kerana pengiktirafan bermakna mereka mengaku kejayaan yang dicapai kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Itu adalah strategi pembangkang yang hanya mahu menidakkan kejayaan kita (kerajaan BN).

Mereka harus faham bahawa kejayaan yang dicapai Malaysia kerana dasar dan kerjasama dengan penjawat awam," katanya

Muhyiddin berkata gandingan pemimpin politik dan penjawat awam berjaya menghasilkan dasar negara yang baik berkaitan ekonomi, sosial, pendidikan, perkhidmatan di dalam dan luar negara.

"Dasar-dasar kerajaan tidak digubal hanya tercetus daripada pemikiran seorang pemimpin sahaja. Ia adalah hasil gabungan pemimpin politik dan pemimpin pentadbiran. Ia merupakan usaha bersama yang telah meletakkan asas-asas negara yang kukuh pada hari ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyelar tindakan pembangkang hanya menolak cadangan hanya semata-mata ia adalah cadangan kerajaan walaupun ia sesuatu yang baik dan memanfaatkan rakyat.

"Kalau mereka pembangkang yang bertanggungjawab dan rasional, mana-mana yang baik dan berjaya, mereka harus kata baik dan kalau tidak baik, mereka harus tegur tetapi pembangkang di Malaysia tidak bersikap begitu.

"Sebab itu, bagi saya, tak penting apa yang pembangkang kata. Yang penting, apa rakyat kata. Saya percaya rakyat lebih selesa dan rasa kerajaan Barisan Nasional lebih fokus menyelesai dan membantu mereka," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya kepada kira-kira 1,000 pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) muda, Muhyiddin mahu PTD berfikir di luar kotak untuk meningkatkan kecekapan, memajukan sektor perkhidmatan awam dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Malaysia yang berfikir di luar kotak telah meletakkan Malaysia sebuah negara yang disanjungi dunia.

"Banyak negara mahu mengikut jejak Malaysia tetapi mereka tidak memiliki sumber, bahan dan kepimpinan politik, kerajaan serta penjawat awam. Ini merupakan satu keunikan sehingga dunia kini tabik Malaysia.

"Dalam situasi yang mencabar, Malaysia tidak tunduk ikut cara biasa. Pemimpin-pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa berfikir di luar kotak berdasarkan keupayaan dan kecekapan penjawat awam kita.

"Kini, ramai yang datang ke Malaysia untuk belajar dari kita. Tak putus-putus negara kita dihujani dengan permintaan dan permohonan luar negara yang mahu menjalani latihan bersama di sini," katanya.



-- BERNAMA


http://www.bernama.com/bernama/v6/newsindex.php?id=918134


Sent from my iPad

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate