Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 Oktober 2012

Tun Mahathir Bidas PBB dan Amerika

Contohi Malaysia, ASEAN tangani konflik

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS) perlu mencontohi semangat ASEAN dan Malaysia yang tidak menggunakan kekerasan serta peperangan dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian atau konflik antara negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal sedemikian kerana pendekatan rundingan, timbang tara dan menyelesaikan konflik mengikut lunas perundangan dilihat lebih bertamadun berbanding keganasan.

Mengambil contoh pertikaian persempadanan dan perebutan wilayah membabitkan Malaysia serta beberapa negara jiran yang diselesaikan secara perundangan, jelasnya, jalan peperangan tidak akan menutup segala konflik secara total sebaliknya menghidupkan dendam pihak yang kalah dalam peperangan itu.

''Oleh sebab itu, masyarakat antarabangsa perlu mengiktiraf peperangan itu sebagai satu jenayah. Membunuh orang lain itu adalah jenayah. Mereka yang bertamadun seharusnya menghentikan peperangan.

''Malangnya, ada pihak yang merasakan diri mereka bertamadun tetapi membangunkan senjata moden untuk berperang. Apakah ini bertamadun? Konflik merebut pulau melibatkan Jepun dan China, sebagai contoh, jika berlaku peperangan, bukan sahaja kedua-dua negara itu sahaja akan terancam tetapi dunia,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian anjuran Universiti Malaysia (UM) dan Institut Falsafah Oriental (IOP) di Akademi Pengajian Islam UM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Naib Canselor UM, Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor dan Pengarah IOP, Dr. Yoichi Kawada.

Dr. Mahathir berkata, peperangan akan melibatkan kos perbelanjaan dalam bidang ketenteraan yang tinggi dan AS pernah mengalami kerugian besar ketika terlibat dalam Perang Vietnam suatu ketika dahulu.

''Bagi saya, membunuh orang lain dalam peperangan adalah primitif dan mementingkan diri sendiri. Penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang membolehkan pengawalnya tidak mengalami apa-apa kecederaan pun tidak bertamadun,'' jelasnya.

Terdahulu dalam sidang akhbarnya, beliau memberitahu, agensi dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat gagal memainkan peranan dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Perkara itu kerana, ujarnya, PBB hidup sebagai badan dunia yang dikuasai oleh lima kuasa besar sehingga mampu menidakkan hak negara-negara lain.

''Ini bukanlah matlamat asal penubuhan PBB. Kuasa-kuasa besar ini tidak demokratik walaupun sering kali bercakap soal demokrasi. Mereka lebih suka kepada peraturan autoritarian.

''Begitu juga dengan negara polis dunia. Bertambah malang apabila negara itulah yang menggalakkan penggunaan senjata untuk menyelesaikan sebarang pertikaian antara negara,'' tambahnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 


Sent from my iPad

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate