Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

30 Ogos 2012

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55 YAB PM Datuk Seri @NajibRazak - Jom Baca




Najib Razak (najibrazak)

 on Facebook
"Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55

 Bismillahhirrahmanirrahim

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia

 Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55. 
 Saudara dan saudari, Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.
 Maka, berteraskan muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus utuh. 
 Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua. 
 Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar. 
 Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional. 
Saudara dan saudari, Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia. 
 Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.
 Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. InsyaAllah. 
 Saudara dan saudari, Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. 
Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik. Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. 
Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka. Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini. 
 Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi. GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat. 
 Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat. Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. 
Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti. Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. 
Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. 
Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya. 
 Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55. Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
 Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sent via Flipboard


Sent from my iPad

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate