Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

07 Disember 2010

Ku Li Minta Majlis Raja-raja Beri Perhatian Terhadap Krisis Istana Kelantan dan Pandangan Peribadi Panglima Mengenainya !!!



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari Isnin meminta Majlis Raja-Raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Beliau juga mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

Kenyataan bertarikh 27 November lepas, diedarkan oleh Tengku Razaleigh di pejabatnya di sini supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismail Petra.

"Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh dunia. Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.

"Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hayat beta," kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.

"Beta tidak kehilangan keupayaan untuk terus menjadi Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim untuk terus menjalankan tugas Perlembagaan beta menurut hak Perlembagaan.

"Dengan demikian maka beta dengan ini mengisytiharkan bahawa tiada mana-mana pihak dan sesiapa pun selain daripada beta yang boleh mendakwa menjadi Sultan dengan menderhaka kepada beta dan tradisi serta adat dan melanggar hak-hak sejarah para waris raja yang kini sudah merupakan bahagian yang mutlak dalam Perlembagaan Kelantan," kata Sultan Ismail Petra.

Tengku Razaleigh juga melafazkan taat setia beliau kepada Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dan menyifatkan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, adalah tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Berikutan itu, beliau berkata:

"Saya setia kepada Sultan Ismail. Saya cuma hendak tengok keluarga diraja ini dapat didamaikan dan tidak ada lagi krisis sebagaimana berlaku sejak Tuanku gering pada bulan Mei tahun sudah," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, dalam perlembagaan, seorang Sultan boleh digantikan sekiranya, pertama Sultan yang sedia ada itu mangkat, kedua Sultan itu berhenti menjadi Sultan dan ketiga, Sultan itu meninggalkan negerinya tanpa sebarang alasan yang munasabah selama 12 bulan.

Katanya, pelantikan Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dilakukan mengikut perlembagaan di mana baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Yahya Petra.

"Tiba-tiba ada pindaan kepada perlembagaan yang dibuat oleh Pemangku Raja negeri, itu saya tidak tahu bagaimana boleh dilakukan. Kalau mahkamah mengesahkan, itu hak mahkamahlah. Tapi biasanya ia tidak dilakukan.

"Ini yang menjadi tanda tanya, Sultan yang ada sekarang, Sultan Ismail Petra adalah sultan yang sah yang telah ditabal dan dimahkotakan selepas mangkatnya Sultan Yahya Petra.

"Dia (Sultan Ismail) sudah menjadi raja tanpa berlaku kesalahan apa-apa, cuma gering baru-baru ini tapi beransur pulih. Mengikut doktor, baginda berupaya untuk melaksanakan tugasnya cuma tidak boleh berjalan," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan rakyat di Kelantan mengenai krisis ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di negeri itu berkelakuan baik dan menerima apa yang berlaku tetapi tetap melahirkan rasa gelisah mereka mengenai urus tadbir kerajaan negeri.

"Kalaulah keadaan yang berlaku di Kelantan itu, berlaku di mana-mana sahaja, saya rasa, boleh berlaku huru-hara negara kita. Kalau raja boleh dibuang dengan senang dan ini pula dibuang oleh orang di dalam negeri berkenaan, kerana dia memangku dan disifatkan ada kuasa seperti raja juga maka dibuang raja yang ada walaupun bapa, huru hara. Tiada siapa yang akan kekal menjadi raja.

"Ini adalah peristiwa yang tidak pernah berlaku yang saya rasa boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir yang tidak menentu dalam negeri dan negara dan sudah tentu akan merisaukan dan mengelirukan rakyat ramai. Dan kestabilan pun akan tergugat dan pemerintahan pun tidak dapat menentukan yang sepatutnya untuk dijalankan pemerintahan," katanya.

Sementara itu, mengenai pelucutan dua pingat, Tengku Razaleigh berkata hal itu tidak menjadi persoalan yang besar kerana yang penting adalah rakyat bukan darjah kebesaran.

Semalam, Istana Kelantan mengesahkan Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I).

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.



Komen : Majlis Raja-Raja sudah menerima Sultan Muhammad V sebagai Sultan baru negeri Kelantan. Dalam hal ini bagi Panglima elok keputusan tersebut yang mana menghormati keputusan Majlis Perajaan Negeri (MPN) tidak lagi dibangkitkan bagi mengelak perkara tidak elok.

Panglima tidak pasti kenapa perkara ini dibangkitkan selepas darjah kebesaran Ku Li ditarik balik. Isu ini tidak wajar dikaitkan dengan UMNO dan kepimpinan negara tentu sedar bahawa isu keluarga Diraja tidak harus dicampuri oleh kepimpinan tertinggi negara.

Dalam kes perbalahan antara keluarga ini, elok pihak yang dihormati oleh golongan Diraja menjadi pihak ketiga yang boleh mendamaikan mereka. Seperti YDP Agong sebagai ketua Sultan di Malaysia sangat elok jika dapat mencemar duli memberi kata nasihat mendamaikan perselisihan tersebut.

Sebagai salah seorang cucu cicit dari 'darah Raja Jembal' dan mempunya sejarah antara keluarga Panglima dengan keluarga Sultan Kelantan khasnya Ku Yahya dan Ku Nab (ayahanda dan bonda Sultan Ismail)maka Panglima sangat berharap agar Sultan Muhammad V dihormati sebagai Sultan Kelantan yang baru manakala kedudukan bekas Sultan Kelantan diberikan pembelaan yang sewajarnya tanpa sebarang campur tangan dari pihak yang tidak berkenaan.

Semoga Sultan Kelantan Sultan Muhammad V akan mentadbir negeri dengan baik lagi adil dan saksama demi kesejahteraan rakyat jelata.


Daulat Tuanku !!!



Sila baca berita di bawah bagi memahami isu di atas 




KUALA LUMPUR 14 Okt. - Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula semalam mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Negeri Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama, agar Kelantan menuju kejayaan dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini. Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda baginda ya Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun. Titah Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik. Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir di sini. Seri Paduka diiiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mesyuarat itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, yang diwakili Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perak, oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, dan Terengganu, oleh Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel. Menurut kenyataan itu, mesyuarat, antara lain, membincangkan perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

(Sumber : BERNAMA)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

paglima, boleh tak bagi tau kat tamingsari bahawa blognya tak boleh dibaca dek bertaburnya info yang menutupi mukasurat lamannya...

Cari Blog Ini

Translate